Friday, February 18, 2011

6 Cara Berblog Dengan Lebih Berkesan

Adakah selama ini anda berpuas hati dengan penulisan blog anda dan jumlah trafik yang anda perolehi setiap bulan? Jika tidak, anda sedang membaca artikel yang tepat -- saya akan berkongsi cara-cara berblog dengan lebih berkesan untuk kita sama-sama praktikkan. Apakah yang anda perlu lakukan?

1. Inspirasi Untuk Menulis

Jika anda seringkali ketandusan idea, maka anda perlukan tips ini -- cari inspirasi untuk menulis! Artikel yang bagus selalunya dijana oleh sumber inspirasi yang bagus juga. Terdapat pelbagai cara untuk anda mencari sumber inspirasi. 

Membaca blog blogger lain
Anda perlu luangkan sedikit masa untuk membaca buah fikiran orang lain. Hal ini dapat membantu meningkatkan pengetahuan anda tentang sesuatu perkara. Adalah lebih baik jika anda membaca blog-blog yang sama seperti blog yang anda usahakan. 

Peka dengan isu semasa
Anda digalakkan meluangkan sedikit masa untuk membaca isu-isu yang sedang hangat diperkatakan. Anda boleh jadikan isu tersebut sebagai 'modal' untuk anda menulis artikel. Seeloknya, anda harus menulis berdasarkan pandangan anda sendiri dan pastikan ianya tidak melampaui batas atau menyalahi undang-undang.

2. Penyelidikan

Lakukan sedikit penyelidikan bagi memperoleh maklumat tambahan bagi topik yang anda akan tulis. Dengan itu, anda mampu menambah isi-isi artikel agar lebih berkualiti.

Enjin Carian
Gunakan khidmat enjin carian Google atau Yahoo bagi membantu anda melakukan penyelidikan itu. 

Media Sosial
Facebook dan Twitter boleh menjadi pembantu anda dalam mendapatkan maklumat tambahan ini. Apa yang anda perlu lakukan hanyalah bertanya secara umum. Mungkin rakan-rakan anda akan memberikan reaksi positif untuk membantu anda.

3. Menulis

Sekarang, apa yang anda perlu lakukan adalah menukar segala maklumat dan isi yang anda ada ke dalam bentuk penulisan. Seeloknya anda menulis secara rawak dahulu sebelum menjadikannya format yang anda mahu. Cara itu memudahkan anda untuk mengenalpasti kekurangan yang ada seterusnya membaikinya.

Kebolehbacaan sebagai sasaran utama
Apa yang penting bagi sesuatu artikel adalah mudah dibaca dan difahami oleh pembaca. Antara tips yang memudahkan pembacaan artikel anda ialah:
  • pastikan setiap isi anda jelas
  • gunakan format bullet list atau numbered list bagi setiap isi
  • seeloknya setiap perenggan bagi setiap isi 
  • gunakan sub tajuk yang sesuai
  • serlahkan (highlight) setiap isi 
Masukkan nilai
Cara ini dilihat berkesan kerana ramai orang tertarik untuk membaca sesuatu yang bernilai. Contohnya -- 6 Cara Berblog Dengan Lebih Berkesan.

4. Sebelum Terbitkan Artikel

Ada beberapa perkara yang perlu anda lakukan sebelum menerbitkan artikel tersebut. Hal ini bagi memastikan artikel anda sempurna dari segi penulisan dan sesuai untuk pembacaan.

Pratonton artikel 
Semak semula setiap imej atau pautan yang anda masukkan -- pastikan setiap apa yang anda masukkan dalam artikel tersebut berfungsi dengan baik apabila diterbitkan kelak.

Semak kesalahan ejaan
Pastikan artikel anda 0% dari kesalahan ejaan. Gunakan istilah.

Pilih masa yang sesuai
Elakkan menerbitkan artikel pada hujung minggu kerana hujung minggu merupakan masa bersama keluarga -- kurang penggunaan internet pada hujung minggu dan trafik yang rendah. 

Senarai semak
  • masukkan tag pada artikel anda
  • pilih kategori
  • betulkan URL artikel anda (jika perlu)
5. Promosi

Sia-sia jika artikel anda yang kualitinya 100% tidak dihebahkan. Oleh itu, promosikan setiap artikel yang anda telah terbitkan menggunakan rangkaian sosial yang anda ada.

Media Sosial
Promosikan pautan artikel anda di twitter, facebook atau sebagainya. Pastikan anda menggunakan bahasa yang sesuai sewaktu menghebahkan pautan artikel tersebut.

6. Tindakan susulan

Perbincangan
Sediakan ruangan komen untuk pembaca anda menyuarakan pendapat masing-masing. Jadikan pendapat dari pembaca sebagai nasihat untuk memperbaiki kelemahan artikel.

Artikel berkaitan
Jika maklum balas yang anda terima adalah positif, pastikan anda menulis artikel yang berkaitan sebagai tanda penghargaan buat pembaca. Pastikan artikel berikutnya lebih baik dari pengisian dan kualitinya.






Sunday, February 13, 2011

Apa itu RSS?

Minat membaca majalah? Tidak mahu terlepas walaupun satu keluaran majalah kegemaran anda? Apakah yang anda akan lakukan jika ingin mengelakkan perkara tersebut berlaku? Semestinya dengan melanggan setiap keluaran majalah itu bukan. Ianya memudahkan anda -- dengan langganan yang telah dibuat, anda hanya perlu tunggu di rumah. Setiap keluaran baru majalah kegemaran anda akan diposkan ke alamat rumah anda. 

Apa itu RSS?

Begitu juga dengan RSS (Really Simple Syndication). Teknologi ini khas buat laman web dan juga blog. Dengan adanya teknologi ini, anda hanya perlu melanggan artikel-artikel dari mana-mana blog yang anda suka secara percuma! 

RSS membantu anda peka dengan setiap kemaskini yang dilakukan pada blog yang anda langgan itu. Teknologi ini biasanya digunakan secara meluas oleh wartawan dan blogger-blogger yang mengendalikan blog topik (teknologi,sosial media,perniagaan). Dengan cara melanggan RSS, mereka mampu mendapatkan maklumat tentang sesuatu berita dengan pantas. 

Bagaimana ingin menggunakannya?

Langganan RSS tidak sempurna jika tidak mempunyai perisian untuk mempamerkannya. Oleh itu, anda boleh menggunakan Google Reader bagi melihat segala kemaskini langganan yang telah dibuat. Terdapat banyak lagi perisian yang boleh digunakan, tetapi Google Reader antara yang mudah untuk dikendalikan. Sesuai buat anda yang baru belajar apa itu RSS.

Emel pengganti RSS

Jika anda tidak tahu mahu menggunakan RSS, tidak mengapa kerana terdapat sesetengah blog atau laman web yang menyediakan langganan artikel melalui emel! Caranya sangat mudah -- anda hanya perlu masukkan alamat emel pada ruangan yang disediakan. Jika terdapat sebarang kemaskini, anda akan menerima emel dari blog tersebut. 

Jika anda belum memahami apa itu RSS, sila kemukakan soalan di ruangan komen. 

Jika ada yang kekurangan, sila nyatakan untuk perkongsian semua di ruangan komen. 

Apa itu Blog?

Rata-rata di antara kita mempunyai blog. Ada yang semakin ligat mengemaskini blog dan ada yang semakin liat. Ramai juga yang mula serius menceburkan diri dalam arena berblog ini kerana blog juga mampu menjana pendapatan yang lumayan jika kena pada caranya. Tetapi, apa yang anda faham tentang blog? Kata orang, tak kenal maka tak cinta.

Apa itu Blog?

Perkataan blog adalah singkatan dari web log. Aktiviti menguruskan blog seperti kemaskini blog dan menulis artikel baru di dalam blog dikenali sebagai blogging. Artikel-artikel yang ditulis dan disiarkan dalam sesebuah blog pula dikenali sebagai blog post, post atau entri. Individu yang menyiarkan entri-entri tersebut dikenali sebagai blogger. Ringkasannya, blog terdiri daripada tiga elemen utama iaitu blogging, blog post dan blogger.

Di Malaysia, kebanyakkan blog bersifat peribadi atau lebih dikenali sebagai personal blog. Blog seumpama ini lebih disukai pembaca kerana penulisan yang bersahaja dan ringkas. Hasil pemerhatian saya, ramai rakyat Malaysia memilih untuk menulis di blog peribadi kerana mereka bebas untuk menulis apa sahaja yang dirasakan patut. Biasanya, hanya seorang individu diperlukan untuk menguruskan blog tersebut. Purata trafik bagi blog seumpama ini pula sekitar ratusan ke ribuan pada setiap bulan.

Berbeza di luar negara. Kebanyakkan blog yang diwujudkan hanya fokus tentang sesuatu subjek. Blog seperti ini pula dikenali sebagai blog topik. Kemaskini atau artikel yang ditulis sentiasa bertepatan dengan topik blog tersebut. Sebagai contoh, Mashable merupakan blog popular mengenai sosial media. Artikel-artikel yang disiarkan hanya memfokuskan kepada topik itu sahaja. Blog topik biasanya diuruskan lebih dari seorang blogger. Mereka mampu menjana pendapatan yang lumayan melalui blog topik kerana blog seperti ini mampu menjana trafik mencecah ratusan ribu (ada juga yang berjuta) pada setiap bulan -- trafik yang tinggi adalah kriteria yang diperlukan untuk menarik minat pengiklan.

Di bawah ini adalah sebuah video yang menceritakan sedikit sebanyak tentang blog. Sengaja saya kongsikan agar anda semua lebih mengenali apa itu blog. Artikel seterusnya berkisar tentang RSS. Semoga terhibur dengan video ini...


Adakah anda juga blogger? Jika ya, apakah jenis blog anda?