Sunday, February 13, 2011

Apa itu RSS?

Minat membaca majalah? Tidak mahu terlepas walaupun satu keluaran majalah kegemaran anda? Apakah yang anda akan lakukan jika ingin mengelakkan perkara tersebut berlaku? Semestinya dengan melanggan setiap keluaran majalah itu bukan. Ianya memudahkan anda -- dengan langganan yang telah dibuat, anda hanya perlu tunggu di rumah. Setiap keluaran baru majalah kegemaran anda akan diposkan ke alamat rumah anda. 

Apa itu RSS?

Begitu juga dengan RSS (Really Simple Syndication). Teknologi ini khas buat laman web dan juga blog. Dengan adanya teknologi ini, anda hanya perlu melanggan artikel-artikel dari mana-mana blog yang anda suka secara percuma! 

RSS membantu anda peka dengan setiap kemaskini yang dilakukan pada blog yang anda langgan itu. Teknologi ini biasanya digunakan secara meluas oleh wartawan dan blogger-blogger yang mengendalikan blog topik (teknologi,sosial media,perniagaan). Dengan cara melanggan RSS, mereka mampu mendapatkan maklumat tentang sesuatu berita dengan pantas. 

Bagaimana ingin menggunakannya?

Langganan RSS tidak sempurna jika tidak mempunyai perisian untuk mempamerkannya. Oleh itu, anda boleh menggunakan Google Reader bagi melihat segala kemaskini langganan yang telah dibuat. Terdapat banyak lagi perisian yang boleh digunakan, tetapi Google Reader antara yang mudah untuk dikendalikan. Sesuai buat anda yang baru belajar apa itu RSS.

Emel pengganti RSS

Jika anda tidak tahu mahu menggunakan RSS, tidak mengapa kerana terdapat sesetengah blog atau laman web yang menyediakan langganan artikel melalui emel! Caranya sangat mudah -- anda hanya perlu masukkan alamat emel pada ruangan yang disediakan. Jika terdapat sebarang kemaskini, anda akan menerima emel dari blog tersebut. 

Jika anda belum memahami apa itu RSS, sila kemukakan soalan di ruangan komen. 

Jika ada yang kekurangan, sila nyatakan untuk perkongsian semua di ruangan komen. 

No comments:

Post a Comment